RENUNGKAN, TINDAKAN, DAN PULIHKAN
Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut pada tarikh 5 Jun setiap tahun merupakan satu platform global yang dianjurkan oleh Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNEP) ke arah pendidikan, pemulihan dan tindakan terhadap alam sekitar. Tahun ini, Hari Alam Sekitar Sedunia memfokuskan terhadap pemulihan tanah, penggurunan dan daya tahan kemarau.
Persoalannya, bagaimana Hari Alam Sekitar relevan dengan perbincangan kita mengenai sistem makanan?
Mudah saja! Apa yang kita makan mempunyai impak yang besar terhadap alam semula jadi. Penternakan haiwan merupakan penyumbang utama terhadap kehilangan biodiversiti, perubahan iklim, pencemaran air dan penebangan hutan. Penternakan haiwan turut membebaskan 14.5% daripada pelepasan gas rumah hijau (GHG) global.
Sekiranya kita menolak makanan berasaskan haiwan, ia boleh mengurangkan separuh jejak karbon berpunca dari makanan. Ini kerana makanan
berasaskan tumbuhan seperti buah, sayur, bijian penuh, kekacang, dan lentil – biasanya menggunakan kurang tenaga, tanah, air dan membebaskan gas rumah hijau yang lebih rendah berbanding makanan berasaskan haiwan.
RENUNGKAN Semula Diet Kita
Demi mengurangkan kesan perubahan iklim, pembebasan GHG, menghentikan kehilangan biodiversiti dan memulihkan ekosistem, kita perlu renungkan bagaimana pilihan makanan kita memberi impak kepada alam sekitar, bermula dari pengeluaran dan pemprosesan hinggalah ke pengangkutan, penyimpanan, pemasaran dan pelupusan sisa makanan.
Sebagai pengguna, kita mempunyai kuasa dalam mengurangkan impak kepada alam sekitar. Kita boleh memainkan peranan dengan merenung semula apa yang kita makan – bertukar kepada diet
berasaskan tumbuhan, menyokong pembekal makanan tempatan dan organik, serta memilih makanan berasaskan tumbuhan berbanding makanan yang diproses dan dibungkus.
TINDAKAN menerusi Pemilihan Makanan Berasaskan Tumbuhan yang Lebih Lestari
Keperluan untuk mencuba pilihan diet yang lebih lestari kini menjadi semakin mendesak akibat terdapatnya kebimbangan yang semakin meningkat ke atas kesan pengeluaran makanan terhadap alam sekitar dan kesihatan. Penyelesaian yang semakin mendapat perhatian ialah peralihan global ke arah pemakanan berasaskan tumbuhan.
Kajian menunjukkan peralihan ini mempunyai potensi besar, bukan sahaja dalam mencegah penyakit dan mengurangkan impak perubahan cuaca tetapi juga mengurangkan tekanan sumber yang berkait dengan penternakan haiwan.
Permintaan dan pengambilan daging di Malaysia juga kian meningkat tetapi mujurlah kita juga mempunyai gerakan serta pasaran untuk makanan berasaskan tumbuhan yang kian berkembang. Jadi lebih mudah untuk mendapatkan makanan berasaskan tumbuhan yang sedap serta sumber untuk memulakan peralihan ke arah makanan berasaskan tumbuhan.
Kita semua bertanggungjawab untuk mengurangkan jejak karbon makanan, dan makanan berasaskan tumbuhan muncul sebagai cara yang paling berkesan dalam mencapai sasaran ini. Pada masa yang sama, ia juga mengurangkan kesengsaraan yang dihadapi oleh haiwan ternakan.
PULIHKAN Ekosistem Demi Planet Kita
Planet kita telah kehilangan lebih separuh dari ekosistem semula jadinya, dan purata saiz populasi haiwan liar juga telah menurun sebanyak 68% sejak tahun 1970. Sebagai perbandingan, lebih daripada 100 bilion haiwan dikorbankan untuk daging setiap tahun. Industri penternakan haiwan menyebabkan kebinasaan terhadap alam sekitar dan manusia menerusi penyakit bawaan binatang, pencemaran air dan perubahan iklim.
Dengan mengurangkan permintaan daging dan memilih makanan berasaskan tumbuhan, kita boleh melenyapkan keperluan untuk meneroka tanah baru demi penternakan haiwan. Menanam tumbuh-tumbuhan sebagai makanan akan memerlukan tanah, air dan sumber yang jauh lebih sedikit.
Penggunaan tanah pertanian yang lebih cekap akan membolehkan tanah dipulihkan. Ekosistem asal dapat menyokong biodiversiti dengan lebih baik dan menjadi penyerap karbon yang membantu mengurangkan perubahan iklim dan kesannya.
Kini di seluruh dunia, kelompok biodiversiti mula wujud di tempat sebelum ini yang merupakan ladang, apabila peladang telah meninggalkan tanah pertanian yang telah kering digunakan. Peralihan ke arah pemakanan berasaskan tumbuhan akan mengurangkan penggunaan tanah untuk ternakan dan mengurangkan pelepasan karbon, serta memulihkan tanah pertanian terdahulu.
Pada akhirnya, mesej dan tema Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini memberikan satu harapan yang optimis buat semua. Jika kita bertindak bersama, kita boleh membuat perubahan, memulihkan ekosistem dengan membuat pilihan yang cakna tentang apa yang kita beli dan makan.