Industri Haiwan Ternakan Menggugat Perubahan Iklim dan Merosakkan Alam Sekitar

Menurut NASA, sekurang-kurangnya 97% daripada saintis iklim bersetuju bahawa krisis perubahan iklim semakin memuncak. Perdebatan sama ada aktiviti manusia menyebabkan peningkatan suhu global sudah lama berakhir. Akan tetapi, sekiranya kita menyetujui pemanasan global benar-benar berlaku tetapi pada masa yang sama masih menyokong industri haiwan ternakan, ia samalah buruknya seperti kita menidakkan pemanasan global ini.

Apabila bercakap mengenai pelepasan, biasanya kita cuma akan terfikir mengenai karbon dioksida (CO2). Tetapi menurut data UN, pelepasan daripada industri haiwan ternakan termasuklah gas metana, berpotensi menyumbang kepada pemanasan global 34 kali lebih tinggi berbanding CO2. 

Sekiranya kita tidak bertindak untuk menghentikan pemanasan global, para saintis telah memberi amaran yang bumi ini akan berhadapan dengan pelbagai kesan berbahaya – daripada ribut dahsyat dan kenaikan paras laut sehinggalah kepupusan berjuta-juta spesies. Walaupun bukan semua orang mampu memiliki kenderaan elektrik mahupun panel solar, terdapat satu cara yang boleh kita lakukan: memilih makanan berasaskan tumbuhan. 

Menurut Organisasi Makanan dan Pertanian United Nations, peningkatan penternakan haiwan untuk makanan menyumbang sehingga 14.5%  pelepasan gas rumah hijau yang disebabkan oleh manusia.  Komoditi tertentu seperti daging dan lembu susu  bertanggungjawab menghasilkan pelepasan yang lebih tinggi iaitu masing-masing menyumbang sebanyak 41% dan 20% daripada keseluruhan pengeluaran gas rumah hijau dalam sektor tersebut. 

Selain itu, menerusi penolakan ke atas produk haiwan, kita boleh mengurangkan sehingga separuh daripada jejak karbon kita yang terhasil daripada makanan. Ingatlah yang ia memerlukan kira-kira 54 kalori bahan api fosil untuk menghasilkan satu kalori protein daging, manakala hanya dua kalori bahan api fosil yang diperlukan untuk menghasilkan satu kalori protein soya. 

Pada tahun 2017, Alliance of World Scientists yang terdiri daripada sekumpulan 15,000 saintis dari 184 negara, telah mengeluarkan sebuah artikel yang menyatakan kita mesti menukar gaya hidup dan memilih makanan berasaskan tumbuhan untuk mengelakkan berlakunya kemusnahan pada alam sekitar.

Inilah masanya untuk kita semua menerima hakikat bahawa aktiviti manusia merupakan ancaman utama kepada planet kita. Bertindaklah! Konsep lestari untuk daging tidak pernah wujud, dan alternatif berasaskan tumbuhan kepada daging, produk tenusu dan telur mengambil hanya sebahagian kecil sumber untuk dihasilkan berbanding makanan berasaskan haiwan ternak. 

Bukan itu sahaja. Makanan berasaskan tumbuhan bukan sahaja bermanfaat untuk bumi kita, ia juga mengelakkan berlakunya penganiayaan terhadap haiwan-haiwan ternakan. Khinzir, lembu, ayam dan haiwan ternakan lain mengalami penderitaan yang dahsyat. Bermula dari lahir, hinggalah ke hujung usianya, haiwan-haiwan ini melalui penyiksaan yang teruk seperti dikurung, dibakar, dipotong dan dibunuh secara kejam. 

Seperti yang dibangkitkan dari awal tadi, perubahan iklim kini benar-benar berlaku, samalah seperti perladangan haiwan ternak yang memberi impak buruk terhadap bumi ini. Sertai berjuta-juta manusia yang sedang membantu melindungi haiwan ternak dan memulihara bumi kita dengan memilih makanan berasaskan tumbuhan.