Gerakan Makanan Berasaskan Tumbuhan di Malaysia!

Kemunculan gerakan makanan berasaskan tumbuhan di Malaysia yang kian pesat, diperkukuhkan lagi oleh kesedaran mengenai kesihatan dan kelestarian kini mengungguli rantau ini dalam kategori kepelbagaian rasa, ketersediaan dan inovasi. 🌱

Seiring dengan kecenderungan terhadap gaya hidup lestari yang kian meningkat, Malaysia telah dikenal pasti sebagai pusat utama untuk makanan berasaskan tumbuhan di mana kita menyaksikan terdapatnya peningkatan terhadap permintaan dan kepelbagaian. Permata Asia Tenggara yang terkenal dengan warisan kuliner yang kaya ini, giat menyesuaikan cita rasa pemakanan yang lebih hijau dengan terlihatnya pilihan lebih banyak makanan berasaskan tumbuhan di menu serta pasaran.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapatnya perubahan ketara dalam pemilihan pemakanan yang didorong oleh kesedaran meningkat terhadap kelestarian alam sekitar, kesedaran kesihatan serta pemilihan makanan yang lebih beretika. Perubahan ini telah mendorong pasaran dinamik untuk makanan berasaskan tumbuhan, mengubah persepsi lapuk serta lanskap kulinari di Malaysia. Dari bandar yang sibuk hinggalah ke pasar-pasar kecil, kita melihat terdapatnya inovasi berasaskan tumbuhan yang menawarkan pelbagai alternatif kepada makanan yang berasaskan daging haiwan. 

Di sebuah negara di mana kebanyakan makanan tradisionalnya berasaskan tumbuhan, Malaysia amat terkenal sebagai syurga makanan untuk pencinta makanan. Kepelbagaian yang ditawarkan sejak sekian lama menjadi kebanggaan negara ini, ada kalanya menjadi titik tolak persaingan sihat antara negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia yang juga terkenal dengan syurga makanannya.

Kini, di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya, George Town dan Ipoh, pelbagai restoran menawarkan hidangan berasaskan sayuran-sayuran yang sesuai untuk vegetarian. Lebih menarik apabila kebanyakan hidangan adalah lebih ringkas dan murah apabila menggunakan bahan berasaskan tumbuhan yang digunakan di restoran dan kedai makan.

Meskipun terdapatnya penunjuk dan minat yang memberangsangkan terhadap pilihan makanan berasaskan tumbuhan di Malaysia, rakyatnya masih mengambil purata sebanyak 52.9kg daging seorang, setahun – jumlah yang lebih tinggi berbanding di Thailand (27.8kg) atau Indonesia (11.7kg). Kajian pada tahun 2019 menunjukkan Malaysia mempunyai kadar individu dengan berat badan berlebihan dan individu obes yang tertinggi antara negara Asia. Sejumlah besar 95% daripada dewasa di Malaysia tidak mengambil amaun buah-buahan dan sayur-sayuran yang disyorkan dalam diet harian. Kajian pada tahun 2022 menunjukkan tiga faktor tertinggi yang mempengaruhi pilihan pembelian makanan ialah harga (79.4%), ketersediaan (75%), dan rasa (73%). 

Trend sebegini memberikan lebih cabaran kepada kebajikan haiwan ternakan, kelestarian alam sekitar, keselamatan makanan dan kesihatan umum. Tetapi apabila kesedaran mengenai isu-isu ini makin meningkat, lebih ramai rakyat Malaysia yang merasa terpanggil untuk mengurangkan kebergantungan mereka ke atas produk haiwan dan memilih makanan berasaskan tumbuhan yang lebih lestari serta alternatif yang bebas dari sebarang penganiayaan.

MEMACU PERMINTAAN

Terdapat beberapa faktor utama yang merangsang permintaan terhadap makanan berasaskan tumbuhan: 

Ketelusan: Kini pengguna semakin berminat untuk mengetahui asal-usul makanan mereka. Apabila mereka mengetahui terdapatnya penganiayaan ke atas kebajikan haiwan serta keprihatinan alam sekitar, keinginan mereka terhadap pilihan makanan berasaskan tumbuhan semakin bertambah.

Kesedaran kesihatan: Ketersediaan maklumat di internet serta pengaruh media sosial telah meningkatkan kesedaran mengenai manfaat kesihatan yang didapati menerusi makanan berasaskan tumbuhan. Pengguna kini mempunyai lebih banyak pengetahuan mengenai impak positif ke atas kesihatan dan ini membuatkan permintaan semakin meningkat.

Rasa dan kualiti: Alternatif berasaskan tumbuhan terhadap produk haiwan telah berkembang jauh dan kini mempunyai rasa dan kualiti yang jauh berbeza berbanding dulu. Dengan terdapatnya kepelbagaian pilihan di kedai dan restoran, pelanggan lebih cenderung memilih makanan berasaskan tumbuhan sebagai pilihan utama.

Kreativiti dan kepelbagaian: Pengguna inginkan inovasi, kebolehsuaian dan kepelbagaian dalam diet mereka. Kini, mereka lebih bereksperimentasi ke atas makanan menerusi gabungan yang unik dan rasa yang menarik. Keinginan sebegini meningkatkan lagi permintaan ke atas penawaran makanan yang berasaskan tumbuhan yang boleh memenuhi kepelbagaian selera. 


MEMENUHI PERMINTAAN

Apabila permintaan semakin meningkat, berlaku juga penambahan restoran yang menawarkan menu berasaskan tumbuhan di kebanyakan bandar-bandar besar serta destinasi popular di Malaysia. Restoran seperti Simple Life Healthy Vegetarian (Kuala Lumpur), Sala Vеgan Rеstaurant (Kuala Lumpur dan Selangor), Botanist Cafe (Mеlaka), dan Vicked Good (Petaling Jaya) merupakan antara restoran yang menawarkan makanan untuk pelanggan vegan dan vegetarian.  

Kebanyakan kedai juga kini menawarkan produk makanan berasaskan tumbuhan yang sedia untuk di makan. Walaupun kebanyakan produk ini diimport dan menyebabkan ia sedikit mahal, ada juga syarikat tempatan seperti Phuture Foods dan Mushroom Lah yang semakin popular dan menarik minat dari rangkaian restoran perkhidmatan pantas untuk menjadikan mereka sebagai rakan kongsi serta pembekal produk berasaskan makanan. Ini merupakan salah satu cara untuk menarik lebih ramai peminat yang mahukan pilihan makanan tempatan dan lebih sihat.

Untuk rata-rata rakyat Malaysia, menikmati makanan berasaskan tumbuhan di rumah adalah satu perkara yang biasa dilakukan. Protein berasaskan tumbuhan seperti tauhu, tempeh dan seitan merupakan pilihan yang versatil, sama ada sebagai bahan utama atau pengganti daging dalam pelbagai menu tradisional dan popular. Daripada gado-gado dan rendang sehinggalah kari laksa dan nasi campur, makanan berasaskan tumbuhan menawarkan kemewahan rasa, pelbagai manfaat nutrisi serta lebih kos efektif berbanding daging. 

BUKAN SEKADAR TREND

Untuk pencipta kandungan yang kerap bereksperimen ke atas makanan berasaskan tumbuhan dalam menghasilkan makanan kegemaran ramai, cara mereka mengadaptasi gaya hidup berasaskan makanan menunjukkan sisi progresif hidangan di Malaysia. Lanskap kulinari di Malaysia yang mewah dan pelbagai telah lama bersedia untuk alternatif berasaskan tumbuhan, dan ini memberikan langkah yang ideal untuk pencipta kandungan dalam memasukkan elemen makanan berasaskan tumbuhan ke dalam hidangan Malaysia. Sama ada sebagai pilihan gaya hidup yang lebih lestari mahupun pilihan diet, pemakanan berasaskan tumbuhan kini semakin mendapat tempat di kalangan rakyat Malaysia. Terdapatnya komuniti pencipta kandungan, produser makanan serta aplikasi diet yang membantu pengguna untuk mencipta resipi makanan berasaskan tumbuhan yang lazat. Ini sekaligus mendorong pengurangan pengambilan daging dan merupakan pendekatan terhadap pemakanan yang lebih mesra alam. 

Chef Dave, seorang chef tempatan yang tidak asing lagi, amat giat mempromosikan makanan berasaskan tumbuhan kepada pengguna menerusi hidangan yang ringkas dan lazat, sambil menekankan pelbagai manfaat yang boleh didapati menerusi pemakanan berasaskan tumbuhan. Selain itu, penggiat makanan berasaskan tumbuhan seperti Dr. Aina Fazlin dan Faisal Mansor daripada Amazingly Fit dan Davina Da Vegan, kerap mempromosikan pilihan makanan yang sihat dan lestari menerusi laman web dan saluran media sosial mereka. Menerusi perkongsian idea hidangan, resipi, tip-tip kesihatan serta nasihat nutrisi, mereka mengajak rakyat Malaysia untuk memilih gaya hidup yang lebih berasaskan tumbuhan. 

Selain itu, aplikasi KindMeal memberikan pelanggannya akses kepada diskaun eksklusif ke atas produk dan makanan berasaskan tumbuhan. Terdapat juga ulasan menarik daripada pengguna lain. Pengguna boleh berkongsi kandungan menerusi komuniti dan mencuba restoran baharu yang menyediakan makanan berasaskan tumbuhan yang berada di sekitar Malaysia. Ini membuatkan peralihan pengguna ke arah makanan berasaskan tumbuhan lebih mudah. 

MEMUPUK PERUBAHAN

Kini, gerakan makanan berasaskan tumbuhan di Malaysia kian mendapat tempat di hati rakyatnya. Ini sekaligus menunjukkan keinginan mereka dalam beralih ke arah pilihan yang lebih lestari dan sihat. Menerusi susur galur kulinari tradisi yang kaya dan pelbagai, Malaysia giat mengeksplorasi makanan berasaskan tumbuhan sambil menawarkan pilihan yang lazat dan menarik sebagai alternatif kepada makanan berasaskan daging. Walaupun terdapat cabaran seperti pengambilan daging yang tinggi dan kebimbangan kesihatan, negara ini melihat kecenderungan terhadap pemakanan berasaskan tumbuhan, yang dipacu oleh kemahuan untuk ketelusan, lebih sihat dan kepelbagaian. Pencipta kandungan, chef tempatan serta penggiat makanan berasaskan tumbuhan memainkan peranan penting dalam mempromosikan pemakanan sebegini menerusi platform mereka, sambil berkongsi resipi yang lazat dan tip-tip yang bermanfaat. Seiring dengan perkembangan gerakan makanan berasaskan tumbuhan di Malaysia, ia juga melambangkan ini bukan sekadar trend tetapi pilihan gaya hidup lestari dalam membentuk tabiat pemakanan serta masa hadapan hidangan-hidangan di Malaysia.